TFP 5016. Ini bukan nombor plat tapi adalah kod kepada matapelajaran “Teaching and Learning in Physics” yang mana merupakan salah satu matapelajaran yang perlu aku ambil untuk semester ini. Apa yang uniknya subjek ini memerlukan aku untuk hadir selama 10 jam seminggu sepanjang semester ini dan semestinya aku pernah terfikir kenapa subjek ni banyak ambil masa untuk di ajar selama seminggu. Kelas pertama subjek ini kalau tak silap aku adalah pada 13 April 2009 dan aku memang ternanti-nanti kelas ni sebab aku nak tau kenapa kelas memperuntukkan jam kredit yang agak banyak dan lama. Pensyarah yang mengajar pada aritu dan kini masih lagi mengajar aku adalah Dr. Nurul yang mana beliau memulakan kelas dengan satu acara yang tidak asing lagi – mengambil kedatangan pelajar.
Aku dan rakan-rakan sekelas yang lain diterangkan dengan lebih lanjut tentang konten subjek ini dan baru aku faham yang subjek ini sebenarnya adalah medium untuk membantu aku dan rakan-rakan yang lain untuk menjadi seorang pendidik subjek fizik yang berkesan memandangkan subjek ini adalah subjek krtikal ( kritikal disini dalam bahasa mudahnya bermaksud ramai murid yang gagal dalam subjek ini) dan memerlukan bahasa inggeris sebagai medium perantaraan. Kami juga diperlukan untuk menulis refleksi yang akan dijadikan sebagai panduan, lubuk atau tempat untuk meluahkan masalah yang mungkin menyelubungi kami sepanjang persediaan untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya dan inilah yang sedang aku buat sekarang – menulis sebuah refleksi.
Banyak masalah sebenarnya yang aku nak cerita dan yang paling jelas sekali adalah sekarang, maksud aku masalah aku jelas terpampang sekarang dikala aku menulis refleksi ini - aku tulis refleksi ini dalam Bahasa Melayu. Senang cerita aku ada masalah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi walhal bahasa ini perlu aku gunakan semasa aku mengajar nanti. Aku boleh membaca, menulis dan memahami sebarang artikel atau cerita dalam Bahasa Inggeris tetapi aku tak mampu bercakap dalam bahasa tersebut. Penyakit ini dah lama aku jangkiti sejak dibangku sekolah lagi dan aku apabila difikirkan balik, banyak faktor dan aspek yang telah menyumbang kepada kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung oleh aku sebagai salah seorang penghidap penyakit yang aku anggap kronik ini. Antaranya ialah factor persekitaraan yang mana senang cerita, aku hidup dikalangan masyarakat Malaysia, khususnya melayu dan rata –rata menggunakan bahasa melayu sebagai alat komunikasi. Boleh dikatakan jarang atau memang tidak ada langsung masyarakat sekeliling aku menggunakan Bahasa Inggeris dan aku tidak berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan Bahasa Inggeris dalam bentuk komunikasi.
Aku tidak bermaksud untuk menyalahkan masyarakat disekeliling aku yang mana dalam hal ini terus-terang adalah pesalah kerana tidak cuba untuk berinteraksi dalam Bahasa Inggeris disebabkan aku malas, takut dan malu kalau apa yang aku ucapkan dalam Bahasa Inggeris akan mengundang dan merangsang reseptor-reseptor gelak ketawa masyarakat sekeliling, khususnya rakan-rakan aku sendiri. Selain dari itu, pengetahuan aku dalam perbendaharaan atau vocabulary Bahasa Inggeris juga adalah amat terhad menyebabkan aku sukar untuk menukar ayat dalam Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris dan kadang-kadang aku terkial-kial apabila diajukan soalan dalam Bahasa Inggeris. Hasilnya soalan yang hanya menggunakan 6 saat untuk dijawab, memerlukan aku untuk menjawabnya dalam gandaan minit. Itu adalah antara punca-punca yang menyumbang kepada masalah aku dan memang aku perlu, wajib dan mesti menyelesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya kerana bahasa ini perlu aku gunakan dikala aku mengajar nanti.
Setelah berhari-hari aku hadir dan menjalani kelas Dr. Nurul (aku tak pernah ponteng) aku mulai yakin yang masalah ini sememangnya boleh di atasi. Kalau mengikut logik akal sememangnya setiap masalah yang timbul, wujud bersama-samanya jalan penyelesaian. Cuma, aku semakin yakin untuk mengubati penyakit Bahasa Inggeris ini sejak aku mengikuti kelas Dr. Nurul dan keyakinan ini timbul hasil kombinasi semangat yang dilontarkan oleh Dr. Nurul, galakan rakan-rakan dan disebabkan kepentingan aku sendiri. Banyak yang aku pelajari semasa mengikuti kelas Dr. Nurul yang mana aku dapat melihat masalah yang sama menimpa rakan-rakan aku yang lain dan boleh dikatakan tidak ada rakan-rakan sekelas aku yang betul-betul fasih dan khatam Bahasa Inggeris kecuali Dr. Nurul sendiri.
Banyak perubahan yang telah aku praktikkan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini walapun aku tahu jalan yang aku ambil memerlukan masa dan keringat yang lebih. Aku mula berjinak-jinak dengan membeli akhbar The Star atau NST kalau The Star kehabisan stok dalam usaha untuk menambah perbendaharaan kata aku selain menonton rancangan dan mendengar radio yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan. Ketika melakukan sebarang pembentangan (semester ini memang banyak pembentangan), aku menggunakan peluang ini sebaik mungkin dengan bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana jika terdapat kesalahan dalam sebutan, nahu, kosa kata dan penggunaan ayat, ia akan diperbetulkan oleh pensyarah dan ini antara pembelajaran yang sememangnnya dapat membantu aku dalam menguasai bahasa ini.
Rasa malu sudah tidak wujud dalam kepala aku kerana kalau malu, memang aku tak dapat apa-apa dan semestinya aku dah tak layak untuk merasa malu di kala umur yang semakin meningkat. Kalau dulu aku suka baca komik tapi sekarang aku suka,dan secara jujurnya aku terpaksa suka, membaca buku-buku dan majalah dalam Bahasa Inggeris hatta buku masakan resipi sekalipun. Jika ada perkataan yang aku tak faham, kalau aku rajin aku akan garis dan mencari maksudnya dalam kamus atau internet dan jika aku malas aku akan bertanya kepada rakan-rakan yang terdapat disekeliling. Aku juga cuba membuat latihan asas grammar Bahasa Inggeris untuk mengukuhkan lagi pengetahuan dan kefahaman aku. Modus-modus operandi yang aku gunakan ini memang nampak mudah dan senang tapi masa, tenaga dan dispilin yang dituntut adalah tinggi dalam memastikan aku mampu menangani masalah yang membelenggu aku selama ini.
Akhir kata, aku berharap segala usaha aku ini akan membuahkan epal yang manis berkat dorongan pensyarah dan rakan-rakan yang mana menjadi intipati dan makjun dalam mebantu aku menjadi seorang pendidik yang berjaya dan aku turut berharap dapat mencapai satu impian kecil semasa aku berada disini – aku nak tulis refleksi yang seterusnya dalam Bahasa Inggeris tanpa sebarang kesalahan tatabasa. Aku cuba =)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment